MEDIA PENANAMAN ORKID
Penanaman orkid memerlukan media yang sesuai mengikut habitat asalnya.Terdapat beberapa jenis media yang biasa digunakan:
1) PECAHAN BATU BATA
Antara media yang popular dan mudah diperoleh. Biasanya digunakan untuk menanam orkid epifit dan orkid memanjat. Ia dicampur bersama dengan pecahan arang.
Teknik menggunakan:
i. Sebelum menggunakan batu bata hendaklah direndam di dalam racun kulat selama semalaman. Selepas itu angkat dan keringkan.
ii. Pecahkan batu batu kepada saiz besar, medium dan kecil mengikut kesesuaian pasu.
iii.Letakkan pecahan besar di bawah pasu, diikuti dengan bersaiz medium dan kecil.
iv. Tanam orkid di atas permukaan pasu. Jangan timbus pangkal orkid. Untuk tegakkan orkid yang tinggi, boleh gunakan kayu pancang sebagai sokongan.
2) PECAHAN ARANG
Digunakan untuk orkid epifit dan orkid memanjat. Boleh digabungkan dengan media batu bata
Teknik menggunakan:
i. Rendamkan arang selama semalaman untuk membuang garam. ( kerana arang diperbuat daripada kayu bakau yang tumbuh di tepi laut).
ii. Siram arang menggunakan aliran air supaya sisa garam dapat dibuang.
iii.Ikut teknik seperti menggunakan pecahan batu bata untuk langkah seterusnya.
3) SERBUK KAYU
Biasa digunakan sebagai media yang diletakkan dalam pasu atau batas untuk menanam orkid jenis memanjat.
Teknik menggunakan:
Gunakan serbuk kayu sebagai campuran bersama dengan media lain seperti pecahan batu bata, arang, tanah pasuan dan perlite)
i. Rendam serbuk kayu yang ingin digunakan di dalam racun kulat semalaman. Angkat dan keringkan.
ii. Masukkan habuk kayu ke dalam bekas tanaman.
iii. Letakkan orkid di atas media. Jika menanam orkid yang hidup ditanah,campur bersama dengan media pasuan dengan tujuan untuk membekalkan bahan organik di dalam tanah apabila ia mereput.
4) SPHAGNUM MOSS
Adalah sejenis lumut yang telah diproses dan merupakan media popular dijadikan sebagai lapisan untuk menanam orkid epifit pada tunggul kayu dan potongan dahan tembusu. Ia mampu menyimpan kelembapan dalam jangka masa lama. Ada juga yang menggunakan seratus peratus sphagnum moss yang diletakkan di dalam pasu untuk menanam orkid jenis phalaenopsis. Ia bagi mengekalkan kelembapan dalam jangka masa lama kerana orkid jenis itu tidak mempunyai bebawang untuk menyimpan air.
Teknik menggunakan:
i. Sphagnum moss yang hendak digunakan direndam di dalam larutan racun kulat semalaman. Angkat dan biarkan sehingga ia terasa lembap.
ii.Isikan ke dalam pasu atau tampalkan kepada tunggul kayu misalnya.
5) POTONGAN BATANG PAKU PAKIS GAJAH
Akar paku pakis mempunyai kebolehan untuk menyimpan air dengan lebih lama berbanding tunggul kayu. Oleh itu kadar penyiraman boleh dikurangkan. Gunakan spaghnum moss sebagai media sokongan. Ia amat sesuai untuk tanaman gantung.
Teknik menggunakan:
i. Potong batang paku gajah mengikut kesesuaian orkid yang hendak di tanam.
ii. Lekatkan orkid di atasnya dengan menggunakan tali yang tidak mencederakan orkid anda.Gunakan tali rafia kerana ia akan reput setelah orkid hidup dengan stabil pada media tanaman.
Paku pakis gajah
6) TUNGGUL KAYU
Sesuai digunakan untuk penanaman orkid secara gantung. Ia lebih cepat kering berbanding dengan potongan paku pakis gajah. Mudah diperoleh di dalam hutan, di ladang sawit atau di tepi sungai. Pilih kayu yang tidak terlalu reput dan pastikan kayu tersebut bebas perosak seperti kulat dan anai - anai. Pelbagai olahan kreatif boleh dihasilkan dengan menggunakan tunggul kayu. Gunakan spaghnum moss sebagai media sokongan dan membantu mengekalkan kelembapan kerana tunggul kayu akan kering dalam masa yang singkat.
Teknik menggunakan:
Sama seperti menggunakan poto¬ngan batang paku pakis gajah. Boleh diletakkan sedikit Sphagnum moss untuk melambatkan kadar kehilangan air selepas siraman.
7) POTONGAN DAHAN TEMBUSU
Sesuai untuk menanam orkid daripada famili bulbophyllum dan phalaenopsis. Orkid lebih cepat hidup stabil apabila menggunakan media itu. Ia mempunyai kulit tebal yang mampu menyimpan air lebih lama.
8) PERLITE
Perlite semakin digemari di dalam penanaman orkid, ini kerana ia mudah dikendalikan, ringan, tahan lama. Perlite juga boleh dicampur bersama dalam tanah pasuan untuk memperbaiki sistem saliran dan pengudaraan tanah. Sesuai untuk orkid epifit dan orkid yang hidup ditanah. Penulis menggemari media ini kerana ia boleh mengurangkan risiko penyakit dek kesan daripada penyiraman melampau.
Teknik menggunakan:
i. Siram perlite dengan air supaya ia basah sebelum mengendalikannya. Ini adalah untuk tujuan keselamatan kerana perlite yang berkeadaan kering, partikelnya mudah berterbangan kerana ia sangat ringan. Dibimbangi memudaratkan kita apabila disedut. Tidak rugi kita berhati-hati.
ii.Isikan ke dalam pasu sehingga penuh.
iii.Letakkan orkid di atasnya, boleh juga dibenamkan orkid sehingga menutup rizomnya. Ini tidak memudaratkan kerana perlite masih memberi rongga udara.
iv. Boleh menggunakan kayu sokongan untuk penanaman orkid yang tinggi dan besar saiznya.
9) TANAH CAMPURAN
Orkid yang hidup di tanah memerlukan media itu. Bagi menyediakan tanah campuran penting bagi kita untuk mengetahui apakah nisbah yang sesuai, bahan apakah yang harus digunakan, adakah media tersebut dimampatkan atau tidak. Pemilihan ciri-ciri ini ditentukan oleh sifat pertumbuhan orkid tersebut. Antara contoh campuran yang biasa digunakan ialah kompos, perlite atau kerikil dan sekam padi dengan nisbah 1:1:1. Ini dapat memberi kadar saliran dan pengudaraan media yang amat baik kepada akar orkid.
10) TIADA MEDIA
Orkid yang hidup di tanah memerlukan media itu. Bagi menyediakan tanah campuran penting bagi kita untuk mengetahui apakah nisbah yang sesuai, bahan apakah yang harus digunakan, adakah media tersebut dimampatkan atau tidak. Pemilihan ciri-ciri ini ditentukan oleh sifat pertumbuhan orkid tersebut. Antara contoh campuran yang biasa digunakan ialah kompos, perlite atau kerikil dan sekam padi dengan nisbah 1:1:1. Ini dapat memberi kadar saliran dan pengudaraan media yang amat baik kepada akar orkid.
10) TIADA MEDIA
Bermaksud orkid digantung bebas tanpa menggunakan sebarang media. Teknik itu sesuai untuk orkid jenis vanda dan memerlukan kadar penyiraman lebih.

No comments:
Post a Comment